Kuala Lumpur,4 Jun 2014: Rasa teruja seorang lelaki mahu membesarkan kemaluan menggunakan alatan khas dibeli menerusi pembelian atas talian sebalik bertukar hampa apabila mangsa hanya menerima bungkusan berisi kanta pembesar minggu lalu.
Perkara itu bermula apabila mangsa dikenali sebagai Ong, 30-an, dikatakan tertarik dengan satu iklan di sebuah laman sosial berhubung penjualan alat khas untuk membesarkan kemaluan.
Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, berdasarkan laporan diterima pihaknya, mangsa yang berminat dengan iklan itu kemudian segera membuat pembayaran kepada pemilik akaun di laman web terbabit.
Mangsa ketika itu bersetuju membayar RM450 kerana mempercayai alat berkenaan berupaya membesarkan kemaluannya dua kali ganda.
Namun, dia yang menerima bungkusan beberapa hari kemudian terkejut mendapati ia hanya berisi kanta pembesar,” katanya di sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Hadir sama, Peguam Biro Pengaduan MCA, Alex Kok.
Menurutnya, lebih melucukan apabila 'penjual' alat itu turut meminta mangsa supaya tidak meletakkan kanta berkenaan di bawah sinar matahari.
Chong berkata, kejadian terbaru yang berlaku itu adalah sebahagian daripada puluhan aduan kes penipuan pembelian dalam talian yang diterima pihaknya sejak awal tahun ini.
MENGUBAH CIPTAAN ALLAH: ANTARA LARANGAN DAN KEPERLUAN
Oleh:
Fadlan bin Mohd. Othman
Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah.
Muhammad Nazir bin Alias
Jabatan Syariah.
Fakulti Pengajian Islam, UKM.
Allah s.w.t. telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik penciptaan. Manusia mempunyai bentuk fizikal yang terbaik berbanding dengan bentuk fizikal makhluk Allah yang lain. Tetapi terdapat manusia yang tidak berpuashati dengan rupa dan bentuk yang telah Allah ciptakan untuknya. Manusia sebegini, sebahagiannya akan mengubah bahagian-bahagian tubuh badannya melalui pelbagai cara bagi memperolehi bentuk tubuh yang memuaskan hatinya. Di antara cara untuk mengubah ciptaan Allah yang dilakukan oleh manusia ialah melalui pembedahan.
DALIL-DALIL YANG BERKAITAN DENGAN MENGUBAH CIPTAAN ALLAH
Terdapat beberapa dalil yang berkaitan dengan mengubah ciptaan Allah dari al-Qur’an dan Hadith. Di antara dalil-dalil tersebut ialah:
Maksudnya: "Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata”. (Surah al-Nisa’:119)
Dalam ayat di atas, syaitan telah menyatakan mengenai agenda kerjanya untuk meyesatkan anak Adam. Di antara tugas yang akan dilakukannya ialah menyuruh manusia supaya mengubah ciptaan Allah s.w.t. Dari ayat ini dapat difahami bahawa orang yang mengubah ciptaan Allah merupakan orang yang telah terpengaruh dengan bisikan syaitan dan orang ini telah melakukan perbuatan yang haram .
Abdullah bin Mas‘ud berkata:
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya: Allah melaknat orang yang membuat tatu, yang meminta dibuat tatu untuknya, yang mencabut bulu di muka, yang meminta dicabutkan bulu di mukanya dan orang yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang mana mereka semua telah menukarkan ciptaan Allah.
Berdasarkan kepada riwayat di atas, membuat tatu, mencabut bulu-bulu yang terdapat di muka termasuk kening, menjarangkan gigi merupakan yang dilaknat oleh Allah kerana ia adalah mengubah ciptaanNya. Oleh itu, segala bentuk perbuatan mengubah ciptaan Allah adalah haram.
Jabir bin Abdullah r.a. telah berkata:
بَعَثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ طَبِيبًا فَقَطَعَ مِنْهُ عِرْقًا ثُمَّ كَوَاهُ عَلَيْهِ
Maksudnya: Rasulullah s.a.w. telah menghantar seorang doktor kepada Ubay bin Ka‘b lalu doktor itu memotong satu uratnya dan meletakkan besi panas padanya.
Berdasarkan kepada riwayat ini, perbuatan mengubah ciptaan Allah kerana sesuatu keperluan adalah diharuskan. Keperluan yang terkandung dalam riwayat di atas, ialah bagi menyelamatkan nyawa dan menghilang penderitaan dan kesakitan yang dialami oleh pesakit.
PENDAPAT ULAMA’ MENGENAI PERBUATAN MENGUBAH CIPTAAN ALLAH
Ulama Islam bersepakat bahawa mengubah ciptaan Allah dengan tanpa sebarang tujuan adalah haram. Mereka bersepakat bahawa memotong rambut, mengerat kuku, berkhatan, berinai bagi wanita dan mewarnakan rambut dengan selain dari warna hitam adalah diharuskan serta tidak termasuk di dalam larangan ini. Mereka juga bersepakat bahawa mengubah ciptaan Allah kerana sesuatu keperluan adalah dibolehkan . Tetapi mereka berselisih pendapat dalam menentukan keperluan yang mengharuskan perbuatan mengubah ciptaan Allah. Perbincangan mereka mengenai persoalan ini adalah seperti berikut:
1. Menurut Abu Jacfar al-Tabari, tidak harus seseorang yang mempunyai anggota badan yang lebih atau mempunyai anggota yang cacat membuang atau mengubahnya kecuali dalam keadaan anggota tersebut boleh membahayakannya atau menyakitinya .
2. Menurut sebahagian ulama mazhab Maliki, harus bagi seorang wanita itu mengubah mana-mana anggota badan termasuklah bertatu untuk tujuan berhias kepada suami kecuali dia dilarang dari membotakkan kepalanya. Menurut mereka, larangan yang terdapat dalam hadis di atas terbatas kepada wanita yang mengubah ciptaan Allah dengan bertujuan untuk mengaburi mata orang lain supaya mengahwininya dengan mahar yang tinggi .
3. Menurut al-Nawawi, digalakkan bagi wanita yang mempunyai misai dan janggut mencabutnya . Perbuatan sebegini walaupun termasuk dalam mengubah ciptaan Allah tetapi diharuskan.
Rumusan dari perbincangan ini, terdapat sebahagian ulama yang mengetatkan hukum mengubah ciptaan Allah seperti al-Tabari yang tidak membenarkannya kecuali jika ia menimbulkan kemudharatan. Sebahagian lagi meluaskan hukumnya dengan membenarkan perubahan kepada penciptaan Allah kecuali bagi golongan yang dilarang untuk berhias seperti fuqaha’ mazhab Maliki. Sebahagian lagi memberi hukum yang sederhana seperti al-Nawawi yang membenarkan perubahan hukum jika ianya adalah berbentuk kecacatan dan untuk tujuan yang diiktiraf oleh syarak. Kesimpulannya ialah mengubah ciptaan Allah adalah perkara yang diharamkan tetapi ia diharuskan untuk menghilangkan kemudharatan dan kecacatan yang terjadi kepada anggota badan samada kecacatan sejak kelahiran atau kecacatan yang berlaku disebabkan sesuatu kemalangan atau disebabkan oleh sesuatu penyakit. Keharusan ini mestilah tidak mendatangkan kemudharatan lain kepada pesakit. Sekiranya sebarang perubahan yang hendak dilakukan dijangka akan lebih memudharatkan pesakit maka ia tidak diharuskan. Selain dari sebab ini, sebarang perubahan kepada penciptaan Allah adalah dilarang seperti mengubah anggota badan kerana dirasakan kurang cantik dan menarik dengan tanpa sebarang kecacatan terhadap anggota tersebut.
PEMBEDAHAN MENURUT SYARAK
Pembedahan yang dilakukan dengan tanpa sebarang sebab adalah suatu yang haram kerana ia adalah sesuatu yang memudharatkan dan termasuk dalam mengubah ciptaan Allah. Namun begitu, dalam keadaan tertentu, ia diharuskan untuk sesuatu keperluan. Berdasarkan kepada dalil-dalil dan kaedah-kaedah syarak, ulama telah merumuskan syarat-syarat dan garis panduan bagi memastikan sesuatu pembedahan itu diharuskan. Syarat-syarat dan garis panduan tersebut ialah seperti berikut:
1. Pembedahan itu mestilah merupakan pembedahan yang mempunyai tujuan yang diakui Syarak. Ini kerana jiwa dan anggota badan manusia adalah milik Allah Ta‘ala. Justeru manusia tidak boleh melakukan sesuatupun kepada anggota-anggota badannya kecuali setelah memastikan perkara itu diakui oleh Syarak. Pembedahan bagi sesuatu keperluan untuk menghilangkan kemudharatan adalah diharuskan .
2. Pesakit memerlukan pembedahan dijalankan . Keperluan yang dimaksudkan di sini dapat dibahagikan kepada dua iaitu:
a. Dharurat iaitu sekiranya tidak dilakukan pembedahan, pesakit akan mati atau kehilangan anggota badannya.
b. Hajat (keperluan) iaitu sekiranya tidak dilakukan pembedahan, pesakit akan mendapat mudharat seperti menanggung kesakitan.
Sekiranya dharurat dan keperluan ini hilang, walaupun di saat-saat akhir sebelum waktu pembedahan, hukum pembedahan kembali kepada hukum asal iaitu tidak boleh dilakukan.
3. Pesakit mengizinkan pembedahan itu. Sekiranya pesakit berkelayakan memberi izin, keizinannya mestilah dipastikan telah diberikan terlebih dahulu sebelum sesuatu pembedahan dilakukan ke atasnya. Sekiranya dia tidak berkelayakan memberi izin, keizinan mestilah diberikan oleh walinya. Sebarang pembedahan tidak boleh dilakukan secara paksa tanpa mendapat keizinan dari pesakit . Namun begitu, jika sesuatu pembedahan itu jika tidak dilakukan boleh menyebabkan pesakit mati, maka dalam keadaan sebegini doktor tidak perlu untuk menunggu keizinan pesakit atau walinya untuk melakukan pembedahan. Ini kerana dalam keadaan ini, jika pesakit enggan melakukan pembedahan sehingga menyebabkan nyawanya terancam, pesakit tersebut dikira telah berdosa . Walaubagaimanapun, keharusan ini sangat bergantung kepada hasil pembedahan tersebut. Jika pembedahan tersebut dijangkakan boleh menyelamatkan nyawa pesakit maka diharuskan. Tetapi jika hasil pembedahan tersebut tidak dapat dipastikan atau pembedahan tersebut tidak dapat menyelamatkan nyawa pesakit maka ia tidak diharuskan.
4. Kumpulan pembedah mesti terdiri daripada doktor dan pembantu yang berkelayakan.
Kelayakan yang dimaksudkan adalah merangkumi dua aspek:
a. Mempunyai ilmu yang mendalam berkaitan dengan pembedahan yang akan dijalankan.
b. Mempunyai kemampuan untuk melaksanakan pembedahan cara yang betul .
5. Pembedahan yang dijalankan mestilah dijangkakan akan berjaya menurut pandangan doktor pakar yang membedah. Menjangkakan pembedahan akan berjaya bermaksud setelah diteliti oleh pakar bedah pembedahan ini berperatusan tinggi untuk berjaya, maka pembedahan itu dibenarkan. Penelitian mestilah dibuat terhadap peralatan, pengalaman kumpulan pembedah dan juga tahap kesihatan pesakit. Sekiranya pembedahan yang akan dilakukan tidak dapat dipastikan kejayaannya dan mempunyai risiko yang membahayakan nyawa atau anggota pesakit maka ia tidak diharuskan .
6. Tidak terdapat alternatif lain yang kurang berisiko selain dari pembedahan. Sekiranya penyakit itu dapat diatasi dengan menggunakan ubat, maka pembedahan dalam keadaan ini tidak dibenarkan. Jika ada cara lain yang lebih selamat dan tidak membebankan untuk merawat pesakit, maka ia wajib dilaksanakan terlebih dahulu. Akan tetapi ia bergantung juga kepada hasil rawatan alternatif tersebut. Sekiranya hasil rawatan alternatif itu iaitu hanya sekadar melalikan dan tidak menghilangkan sakit secara total di samping boleh menyebabkan ketagihan serta pembedahan dilihat lebih baik dilakukan maka pembedahan dalam keadaan begini diharuskan .
7. Pembedahan mendatangkan kebaikan. Pembedahan dibenarkan jika menghasilkan kebaikan samada kebaikan dari sudut dharurat seperti pembedahan yang menyelamatkan nyawa, mahupun dari sudut hajiyyah seperti pembedahan untuk mengembalikan keadaan normal kepada sesuatu anggota badan. Sekiranya pembedahan itu mendatangkan mudharat yang lebih teruk dari penyakit yang sedang dialami oleh pesakit maka ia tidak dibenarkan. Ini kerana pembedahan itu hanya dibenarkan untuk menghilangkan kemudharatan bukan untuk memberi kemudharatan lain kepada pesakit .
8. Pembedahan tidak menghasilkan mudharat yang lebih besar. Kesakitan yang ditanggung pesakit perlu diteliti dalam dua keadaan; sebelum dan selepas sesuatu pembedahan. Sekiranya mudharat kesakitan selepas pembedahan lebih kuat berbanding dengan sebelum pembedahan dilakukan, maka pembedahan itu diharamkan. Sebaliknya jika mudharat kesakitan sebelum pembedahan dijangka akan kurang atau hilang selepas pembedahan, maka pembedahan itu dibenarkan .
PEMBEDAHAN KOSMETIK
Berdasarkan kepada dalil-dalil dan perbincangan di kalangan ulama mengenai pembedahan, kajian ini seterusnya akan membicarakan mengenai pembedahan kosmetik. Pembedahan kosmetik biasanya dilakukan pada zaman sekarang untuk beberapa tujuan berikut:
1. Untuk merawat kecacatan anggota badan yang terjadi sejak kelahiran atau disebabkan oleh penyakit atau sesuatu kemalangan.
2. Untuk menambah kecantikan dan mengekalkan keremajaan fizikal.
3. Untuk mengubahsuai anggota badan yang dirasakan tidak sesuai dengan jiwa (kemahuan) seperti mengubah jantina.
Pembedahan Kosmetik Untuk Merawat Kecacatan Anggota Badan
Pembedahan kosmetik yang bertujuan merawat kecacatan anggota badan yang terjadi sejak kelahiran atau disebabkan oleh penyakit atau sesuatu kemalangan adalah diharuskan . Contoh pembedahan ini seperti pembedahan menghilangkan sumbing di mulut, jari tangan atau kaki yang melekat di antara satu sama lain, pembedahan kulit yang terbakar dan seumpamanya. Keharusan ini adalah kerana kecacatan ini mengandungi kemudharatan dari sudut fizikal dan mental pesakit. Pesakit yang mengalami kecacatan anggota samada merasa kesakitan disebabkan kecacatannya atau terhalang dari mendapat manfaat dari anggotanya yang cacat. Kesemua sebab ini merupakan alasan yang kuat bagi mengharuskan pembedahan sebegini.
Pembedahan Kosmetik Untuk Menambah Kecantikan Dan Mengekalkan Keremajaan Fizikal
Pembedahan yang bertujuan semata-mata untuk menambahkan kecantikan atau mengekalkan keremajaan adalah haram berdasarkan kepada dalil-dalil di atas. Ini kerana pembedahan sebegini tidak termasuk dalam pembedahan yang mempunyai keperluan . Tujuan utama pembedahan sebegini hanyalah untuk mengubah ciptaan Allah mengikut keinginan dan nafsu sahaja. Pembedahan sebegini juga boleh membawa kepada pelanggaran kepada larangan-larangan agama yang lain seperti penggunaan dadah dengan tanpa keperluan dan pembukaan aurat kepada doktor yang berlainan jantina dengan tanpa sebarang keperluan.
Pembedahan Kosmetik Untuk Mengubahsuai Jantina Atau Anggota Badan Yang Dirasakan Tidak Sesuai Dengan Jiwa (Kemahuan)
Pembedahan sebegini adalah diharamkan kerana ia termasuk dalam larangan mengubah ciptaan Allah. Pembedahan sebegini, jika diteliti, tidak mempunyai sebarang keperluan . Anggota badan yang dirasakan tidak sesuai, tidaklah boleh memberi kemudharatan kepada pemiliknya. Dengan alasan bahawa anggota badan tersebut dirasakan tidak sesuai dengan jiwa, belum memadai untuk mengharuskan pembedahan. Orang yang mahu mengubah anggota badan yang dirasakan tidak bersesuaian dengan jiwa adalah orang yang tidak redha dengan ketentuan Allah kepadanya. Orang sebegini telah terpegaruh dengan bisikan syaitan supaya tidak bersyukur dengan kurniaan Allah. Ada orang lain yang cacat dan tidak mempunyai anggota badan langsung tetapi mereka ini masih lagi mempunyai anggota badan yang cukup serta dalam masa yang sama masih merasakan ianya belum sempurna dan sesuai. Kesimpulannya, pembedahan sebegini adalah haram.
PEMBEDAHAN PEMINDAHAN ORGAN
Pembedahan pemindahan organ boleh berlaku di antara binatang kepada manusia dan di antara manusia kepada manusia. Jika pemindahan organ di antara binatang kepada manusia, maka ia diharuskan jika binatang tersebut tidak najis seperti lembu yang telah disembelih dan seumpamanya . Keharusan ini berdasarkan kepada anjuran Rasulullah s.a.w. kepada umat Islam supaya berubat jika ditimpa penyakit. Tetapi jika binatang tersebut adalah najis, maka ia tidak diharuskan kerana ia boleh menjejaskan ibadat yang mempunyai syarat bersuci. Namun begitu, ia diharuskan dalam dua keadaan berikut; jika ianya sesuatu yang dharuri seperti menyelamatkan nyawa dan jika tiada pilihan lain selain dari organ tersebut .
Pemindahan organ di antara manusia pula, penulis mendapati ulama tidak bersepakat mengenai. Sebahagian mereka mengharuskan dan sebahagian lagi mengharamkan. Berikut akan dinyatakan pendapat-pendapat para ulama berkenaan pemindahan organ antara sesama manusia.
1- Pendapat pertama: pemindahan organ dibenarkan sekiranya terdapat dharurah atau keperluan.
Pendapat ini diutarakan oleh: al-Shaikh al-Qaradawi, al-Shaikh Jad al-Haq Ali Jad, al-Shaikh Muhammad Sayyid al-Tantawi, al-Shaikh Ahmad Umar Hashim, al-Shaikh Abdullah al-Mashd, al-Shaikh Atiyyah Saqr dan lain-lain di samping Muktamar Islam Antarabangsa di Malaysia (1969), Muktamar Antarabangsa Pakar-Pakar Perundingan Islam (1986, 1988 dan 1990), Majlis Tertinggi Islam Algeria (1972), Majlis Tertinggi Fatwa Jordan (1977), Pertubuhan Ulama Besar Arab Saudi (1978 dan 1980), Kementerian Waqaf Kuwait (1980), Akademi Fiqh Rabitah al-Alam al-Islami (1985) dan lain-lain lagi.
2- Pendapat kedua: pemindahan organ tidak dibenarkan sama sekali.
Pendapat ini diutarakan oleh: al-Shaikh Muhammad Mutawalli al-Shacrawi, Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari, al-Shaikh Muhammad Burhanuddin al-Sanbahli, al-Shaikh Hasan bin Ali bin Hashim al-Saqqaf al-Husaini, Dr. Abdul Salam Abdul Rahim al-Sukkari dan Dr. Hasan Ali al-Shadhili.
3- Pendapat ketiga: pemindahan organ dibenarkan sekiranya diambil daripada orang kafir untuk dimasukkan kepada orang muslim.
Pendapat ini diutarakan oleh: al-Shaikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Shinqiti.
Setelah melihat dalil-dalil yang dikemukakan daripada pendapat-pendapat ini, penulis berkeyakinan bahawa pendapat pertama yang membenarkan pembedahan pemindahan organ dari manusia ke manusia apabila wujudnya dharurah dan keperluan adalah merupakan pendapat yang terkuat di antara ketiga-tiga pendapat tadi. Untuk menutup perbincangan ini, dalil-dalil pendapat yang terkuat ini akan dinyatakan secara ringkas seperti berikut:
1- Dalil daripada al-Quran:
a. Firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:173):
Maksudnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Firman Allah Ta‘ala (al-Maidah 5:3):
Maksudnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah … Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Firman Allah Ta ‘ala (al-An‘am 6:145):
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah". Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Pendalilan: Ayat-ayat ini mengharamkan beberapa jenis makanan kecuali dalam keadaan dharurah. Konsep dharurah di sini juga merangkumi situasi di mana seseorang itu memerlukan pembedahan pemindahan organ.
b. Firman Allah Ta‘ala (al-Maidah 5:32):
Maksudnya: Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya;
Pendalilan: Potongan ayat ini yang bermaksud “dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya,” adalah satu konteks yang umum merangkumi semua jenis usaha menyelamat nyawa daripada kebinasaan seperti derma organ yang dapat menyelamatkan nyawa atau mengembalikan penglhatan.
c. Firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:185):
Maksudnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.
Firman Allah Ta‘ala (al-Nisa 4:28):
Maksudnya: Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.
Firman Allah Ta‘ala (al-Maidah 5:6):
Maksudnya: Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan).
Firman Allah Ta‘ala (al-Haj 22:78):
Maksudnya: Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama.
Pendalilan: Ayat-ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa di antara formula yang digariskan oleh Syarak ialah konsep memudahkan (al-taysir) dan bukannya konsep merumitkan (al-ta‘sir). Jika dilihat kepada pembedahan pemindahan organ, sudah tentulah hukum membenarkannya menjunjung konsep memudahkan yang ditekankan oleh Syarak.
2- Dalil logik:
a. Dibenarkan berubat dengan pemindahan organ sebagaimana dibenarkan berubat dengan memakai kain sutera untuk lelaki jika ada keperluan.
b. Dibenarkan berubat dengan pemindahan organ sebagaimana dibenarkan berubat dengan memakai emas untuk lelaki jika ada keperluan.
c. Para fuqaha’ telah membenarkan membelah perut orang mati untuk mengeluarkan permata milik orang lain. Justeru mengeluarkan organnya untuk menyelamatkan jiwa lain adalah lebih dibenarkan.
d. Dibenarkan pemindahan organ sebagaimana dibenarkan pembedahan sekiranya diperlukan kepada kedua-duanya.
e. Pemindahan organ kepada orang lain selepas kematiannya merupakan satu bentuk sedekah yang digalakkan dan akan mendapat pahala khususnya jika diwasiatkan.
f. Perbuatan mendahulukan saudara seagama dalam makan, minum dan harta adalah diutamakan dalam Islam. Justeru mengutamakannya dalam perkara yang dapat menyelamatkan nyawanya dengan mendermakan oragannya kepadanya adalah lebih penting.
g. Manusia dibenarkan mengubah keadaan anggota badannya untuk kebaikan. Izinnya untuk menderma organnya juga mempunyai kebaikan, jadi ianya dibenarkan.
3- Dalil daripada al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah:
a. Al-Darar yuzal (mudrat mestilah dialihkan).
Penjelasan: Mengalihkan mudarat merupakan salah satu konsep-konsep Syarak.
b. Al-Darurat tubih al-mahdhurat (keadaan-keadaan mudarat menghalalkan perkara-perkara yang ditegah).
Penjelasan: Dibenarkan mengalihkan mudarat walaupun dengan melakukan perkara yang haram.
c. Idha daq al-amr ittasa‘ (sekiranya berlaku kesempitan, wujudlah kelapangan.)
Penjelasan: Sekiranya seseorang mukallaf berada dalam kesusahan yang tidak terpikul, keadaan ini menghasilkan kelapangan hukum untuknya. Iaitu dia dibenarkan melakukan perkara yang ditegah dalam keadaan ini.
Ketiga-tiga konsep ini dapat dilaksanakan dalam perbincangan kita ini di mana pesakit itu telah mendapat mudarat dengan kehilangan satu organ badannya. Dengan ini dia berada dalam keadaan kesempitan kerana di saat itu keadaannya boleh membawa kepada kematian.
d. Idha ta‘arada mafsadatan ru‘iya a‘zamuhuma dararan bi irtikab akhaffihima (apabila bertembung dua keburukan hendaklah dijaga yang lebih besar mudaratnya dengan melakukan yang lebih ringan)
Penjelasan: Dalam perbincangan kita, mudarat yang lebih besar ialah kematian pesakit yang hidup dan mudarat yang lebih ringan ialah kesakitan pada penderma atau kekurangan anggota badan si mati. Mengikut konsep ini, hendaklah dijaga mudarat yang lebih besar iaitu kematian pesakit dengan melakukan mudarat yang lebih ringan iaitu mengambil organ daripada penderma atau si mati.
e. Al-Ahkam tataghayyaru bi taghayyur al-zaman (hukum-hukum berubah dengan perubahan waktu).
Penjelasan: Satu ketika dahulu, semasa perubatan belum begitu canggih, hukum pemindahan organ adalah haram kerana peratus kejayaan adalah tipis. Akan tetapi dewasa ini dengan kecanggihan sistem perubatan di mana peratus kejayaan pembedahan-pembedahan ini tinggi maka hukum ini berubah menjadi halal.
f. Al-Umur bi maqasidiha (hukum sesuatu perkara berdasarkan tujuannya).
Penjelasan: Sekiranya pembedahan pemindahan organ ini dilakukan untuk menyelamatkan nyawa ianya disyariatkan. Akan tetapi sekiranya pembedahan ini dilakukan untuk merosakkan badan si mati contohnya, ianya diharamkan sama sekali.
KESIMPULAN
Di akhir perbincangan ini, beberapa kesimpulan dapat diambil daripada kenyataan-kenyataan yang telah dikemukakan seperti berikut:
1- Di dalam usaha untuk mengeluarkan sesuatu hukum yang tidak terdapat secara teks di dalam nas-nas al-Quran dan al-Sunnah, adalah amat wajar untuk mengumpulkan nas-nas yang berkaitan kemudian dibuat kajian menyeluruh. Nas-nas larangan mestilah diletak bersebelahan dengan nas-nas yang mengharuskan agar dapat dibuat penilaian yang adil.
2- Islam adalah satu agama yang tidak ketinggalan dalam menangani isu-isu semasa. Walaupun tidak menyatakan secara spesifik, al-Quran tetap menyediakan ayat-ayat yang bersifat global yang hanya menunggu sedikit usaha daripada kalangan cendekiawan Islam merumuskan hukum kontemporari daripada ayat-ayatnya.
3- Di dalam usaha merumuskan hukum, para ulamak dengan telitinya telah merujuk kepada kaedah-kaedah atau formula-formula Usul al-Fiqh dan al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah. Justeru untuk sentiasa kehadapan, para penuntut ilmu Islam mestilah mempunyai kemahiran yang mencukupi di dalam ilmu-ilmu ini, tanpa mengira pengkhususan mereka.
Sekian sahaja buat masa ini, semoga bertemu kembali di lain hari. Kami doakan agar Allah Ta‘ala mengurniakan ilmu yang bermanfaat kepada kita semua. Amin.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Assalamualaikum...
Tak,kan bace je kot komen lah sikit..
sikit pon jadilah..
TINGGALKAN MESEJ ISLAM ANDA DI BAWAH..
SYUKRAN JAZILAN.. ^_^